Semua Pelajar Boleh Berjaya
halaman utama
siapakah gerangan
uji cerdas
di sebalik tabir
bicara hati
jalinan mesra

Contoh-contoh Karangan
 

Hasil karya:

Nur Diyanah  Bte Kamis (16)

Men 4/1

 

                               Mempunyai iltizam yang kuat merupakan salah satu kunci kejayaan seseorang pelajar. Memang tidak boleh dinafikan, semua pelajar boleh berjaya. Tetapi, ia hanya akan menjadi nyata dengan adanya disiplin diri dan usaha gigih seseorang pelajar. Ini adalah kerana berusaha merupakan tangga kejayaan. Seseorang pelajar juga harus mempunyai cita-cita tinggi dan meletakkan matlamat untuk mencapai cita-cita tersebut. Ini akan mendorong pelajar untuk bekerja keras demi mencapai cita-cita yang diidamkan selama ini. Di dalam proses untuk mencapai kejayaan, tentunya pelajar akan mengalami kegagalan, bak kata pepatah hidup bagai gelora, ada kalanya naik, ada kalanya turun. Tetapi, ini tidak bermakna pelajar harus berputus asa dan tidak meneruskan perjuangan mereka. Mereka tidak harus menjadikan kegagalan sebagai hambatan dari mencapai kejayaan. Sebaliknya, jadikan kegagalan sebagai pengajaran kerana ia adalah kejayaan yang tertunda.

 

                               Teknik pembelajaran yang berkesan juga memainkan peranan dalam mendorong pelajar ke mercu kejayaan. Antaranya ialah teknik pembelajaran secara tekal yang boleh mengelakkan para pelajar dari berasa tertekan kerana tidak boleh mengulangkaji secara menyeluruh. Sebaliknya, ia akan membina keyakinan diri para pelajar kerana banyak perkara boleh dipelajari lebih awal.

 

                                 Melakar jadual waktu juga merupakan antara teknik pembelajaran yang berkesan. Ini akan mengelakkan para pelajar dari membuang masa melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah. Masa amat berharga terutama kepada para pelajar dewasa ini. Oleh itu, jadual waktu dapat memastikan masa dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar para pelajar tidak lalai. Para pelajar juga harus mempunyai disiplin dan mengikut segala yang dirancang dalam jadual tersebut. Ini termasuk mengawal nafsu secara psikologi.

 

                                Pengaruh rakan-rakan juga memainkan peranan. Pengaruh yang positif boleh membawa kejayaan kepada seseorang. Oleh itu, seseorang pelajar harus pandai memilih kawan yang sealiran dan mempunyai cita-cita yang sama iaitu berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Antara ciri-ciri seorang rakan yang mempunyai pengaruh yang positif ialah memberi sokongan yang tidak putus-putus. Ini akan menguatkan lagi semangat dan iltizam untuk berjaya. Ia juga akan membuta pelajar lebih fokus dalam pembelajarannya.

 

                                 Pengaruh ibu bapa juga penting. Tidak kiralah dari segi kewangan mahupun sokongan moral. Lazimnya, ibu bapa yang berwang dapat menghantar anak-anak mereka ke institusi atau pusat-pusat pengajian yang tinggi seperti universiti di luar negeri bagi melanjutkan pelajaran. Ibu bapa sebegini juga mampu untuk menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen.

 

                                 Pengaruh ibu bapa dari segi moral pula ialah sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak. Kata-kata ibu bapa ialah doa buat anak-anak. Oleh itu, ibu bapa tidak harus memandang rendah terhadap anak-anak kerana ia akan membuat anak tersebut hilang keyakinan untuk berjaya.

 

                                   Guru juga memainkan peranan. Dorongan dari guru boleh memotivasikan murid-murid yang lemah. Murid-murid juga harus rajin bertanya kepada guru kerana malu bertanya sesat jalan.

 

                                   Para pelajar sendiri juga boleh memainkan peranan dengan menjalani cara kehidupan sihat. Ini termasuk tidur yang cukup agar pelajar dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya dalam pelajaran. Pemakanan yang seimbang juga penting. Jika kesihatan seseorang pelajar itu terjejas, maka sukarlah baginya untuk belajar secara efektif. Para pelajar juga harus merehatkan otak dengan beriadah. Antaranya ialah bersenam, bersantai bersama keluarga, menari dan bermacam-macam lagi mengikut kegemaran para pelajar.

 

                                   Akhir sekali, setelah melakukan pelbagai usaha seperti yang dinyatakan tadi, para pelajar bolehlah berdoa kepada Yang Maha Kuasa kerana dialah penentu segalanya. Manusia hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Setelah itu, bertawakallah kepadaNya serta yakin bahawa segala usaha akan membuahkan hasil.

 

Enter content here

Enter supporting content here