Pesalah Juvenil Berpunca Dari Keluarga Yang Porak-Peranda. Bincangkan
halaman utama
siapakah gerangan
uji cerdas
di sebalik tabir
bicara hati
jalinan mesra

Contoh Karangan 1

 

Nursyahidah

Sec 4/2

Sekolah Menengah Temasek

 

 

                   Pesalah juvenil merujuk kepada golongan anak muda yang belum matang dan berusia dalam lingkungan umur di bawah 16 tahun yang menyalahi undang-undang. Sejak akhir-akhir ini, jumlah pesalah juvenil semakin melonjak naik. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan peningkatan pesalah juvenil. Masalah pesalah juvenil boleh berpunca daripada faktor-faktor seperti keluarga yang porak-peranda, pengaruh kawan yang buruk serta pengaruh media. Namun

Faktor yang terpenting di sini ialah keluarga yang porak peranda.

 

                   Keluarga adalah tulang belakang bagi anak-anak muda hari ini. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk watak serta sahsiah anak-anak muda. Seandainya terdapat masalah yang menyebabkan porak-peranda keluarga itu, kehidupan anak muda akan binasa. Antara masalah keluarga yang menyebabkan anak-anak binasa ialah perceraian ibu bapa. Apabila ibu bapa bercerai, ia sekaligus meletakkan anak-anak dalam dilema kerana terpaksa membuat keputusan samaada ingin bersama ibu atau ayah. Anak-anak akan mendapat tekanan serta gangguan emosi kerana mereka inginkan keluarga yang bersatu tetapi akibat perceraian, satu keluarga berpecah-belah. Anak-anak menagihkan kasih sayang yang sama rata daripada kedua belah pihak, baik ibu mahu pun ayah. Ini tidak dapat dikecapi jika perceraian berlaku antara ibu dan ayah. Dalam pergaduhan antara ibu dan ayah, anak-anak yang akan menjadi mangsa bak kata pepatah gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

 

                   Selain perceraian, satu lagi masalah yang menjadikan keluarga itu porak peranda ialah masalah kewangan. Sekiranya keluarga itu tidak berkemampuan untuk memberikan anak-anak mereka apa yang diingini, anak-anak akan memberontak lantas mendampingi cara-cara lain untuk mendapatkan kepuasan seperti mencuri dan merompak. Mereka akan melakukan pelbagai jenayah untuk mendapatkan wang dan barang-barang yang mereka hajati.

 

                   Pada zaman yang moden ini, semua orang sibuk mengejar kerjaya masing-masing. Ibu bapa seringkali sibuk dengan tugas dan pulang rumah lewat malam sehingga tidak berpeluang meluangkan masa untuk anak-anak mereka. Ini akan membawa kesan buruk terhadap kehidupan anak mereka kerana ibu bapa langsung tidak mengambil berat terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Ibu bapa tidak tahu dengan siapa anak mereka bergaul, apa kegiatan luar anak mereka dan sebagainya. Anak-anak juga akan kekurangan kasih sayang serta perhatian dan mereka akan cuba bergaul dengan anak-anak lain yang senasib seperti mereka. Lantas mereka melakukan pelbagai cara untuk mencari kepuasan dan menarik perhatian ibu bapa mereka.

 

                   Pesalah juvenil juga boleh berpunca daripada ibu bapa yang berulang kali keluar masuk penjara dan pusat pemulihan. Sekaligus, anak-anak akan terpengaruh dan mengikut jejak ibu bapa mereka kerana mereka melihat ibu bapa mereka sebagai idola mereka. Mereka tidak dapat membezakan antara baik dan buruk dan terjebak dalam kegiatan jenayah. Mereka terikut-ikut perangai ibu bapa mereka seperti contoh apabila bapa penagih dadah, anak juga akan menjadi penagih dadah kerana diperkenalkan kepada dadah menerusi ayah mereka. Mereka mendapat pendedahan luas terhadap dunia jenayah kerana ia berlaku dalam keluarga mereka sendiri. Inilah yang dikatakan bapa borek, anak rintik.

 

                   Jelaslah di sini bahawa keluarga yang porak peranda menjadi faktor terpenting dalam masalah pesalah juvenil. Namun demikian, terdapat faktor-faktor lain seperti pengaruh kawan yang menyebabkan gejala ini. Anak-anak muda ini seringkali dipengaruhi oleh kawan-kawan. Adakalanya mereka dicabar, dan mereka menerima cabaran itu semata-mata untuk menunjukkan kehebatan mereka kononnya. Tetapi mereka silap kerana kawan-kawan sedemikianlah yang merosakkan kehidupan mereka. Oleh sebab itu, amatlah penting bagi anak-anak ini mencari dan memilih kawan dengan bijak. Anak-anak sering berani melakukan perkara secara beramai-ramai bak kata pepatah seperti aur dengan tebing dan inilah yang mendorong mereka untuk memasuki kumpulan-kumpulan samseng. Kumpulan-kumpulan samseng sebeginilah yang sering melanggar undang-undang lantas menjadi pesalah juvenil. Akhirnya, mereka akan menyesal dan terpaksa menanggung akibat perbuatan mereka sendiri kerana berani buat, berani tanggung.

 

                   Faktor terakhir di sini yang menyebabkan pesalah juvenil semakin meningkat ialah pengaruh media. Anak-anak didedahkan kepada media sejak awal lagi. Kini pengaruh media sudah semakin besar kerana ia memainkan peranan penting dalam mengasuh dan mendidik anak-anak muda. Anak-anak muda lebih mudah terpengaruh dengan media kerana mereka akan melihat pelbagai aksi yang ditonjolkan di televisyen dan seterusnya mereka akan terikut-ikut dengan cara ini. Apa yang membimbangkan ialah budaya dan cara kehidupan masyarakat barat sudah semakin banyak ditonjolkan di media tidak kira dari segi apa aspek sekali pun. Terdapat banyak pengaruh barat yang buruk seperti seks dan filem-filem aksi. Anak-anak muda terdedah kepada filem-filem sebegini dan ia semacam menjadi sebati dalam kehidupan anak-anak ini. Mereka akan melakukan seperti mana yang mereka lihat dalam filem-filem ini dan mengaplikasikannya ke alam realiti. Anak-anak akan mencontohi apa yang mereka lihat di media dan akan terbawa-bawa dengan cara kehidupan yang ditonjolkan.

 

                   Sehubungan dengan ini, kita dapat membuat andaian bahawa pesalah juvenil berpunca daripada keluarga yang porak-peranda kerana ia memainkan peranan terbesar antara kesemua faktor yang disenaraikan. Jadi  jelaslah bahawa keluarga yang porak-peranda boleh membawa kesan buruk kepada anak-anak muda dan menjadikan mereka pesalah juvenil.

 

Contoh Karangan 2

 

Nur Hidayah

4/4

Sekolah Menengah Temasek

 

       Di dalam zaman yang penuh panca roba ini, remaja sering kali dipengaruhi dengan pelbagai daya tarikan di sekelilingnya. Dunia remaja dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang harus ditempuhi. Sejak kebelakangan ini, jumlah pesalah juvenil semakin meningkat. Mereka yang berkelakuan salah adalah kalangan remaja yang berusia enam belas tahun ke bawah. Peningkatan ini menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat umum dan juga pemerintah. Ramai yang menunding jari ke arah keluarga yang porak-peranda sebagai utama masalah ini. Pada zahirnya, ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jumlah pesalah juvenil ini seperti pengaruh rakan dan juga pengaruh media massa.

 

          Keluarga menjadi tulang belakang bagi seseorang itu untuk mengharungi hidupnya. Tanpa keluarga, seseorang itu tidak mungkin ada sandaran yang dapat memberikan sokongan emosi dan juga moral kepadanya. Seseorang remaja sangat mengidam-idamkan keluarga yang bahagia. Mereka inginkan ibu bapa sebagai tempat mereka bergantung nasib dan juga mencurahkan kasih sayang. Namun, ada sejumlah pesalah juvenil ini berpunca daripada keluarga yang kurang memberikan perhatian dan gagal mencurahkan kasih sayang yang secukupnya. Akhirnya, remaja itu akan berasa kekosongan dan tidak dapat bergantung kepada keluarganya sendiri. Ibu bapa yang bekerja siang dan malam dan kurang bertemu dengan anak-anak mereka sendiri, akan menimbulkan rasa kekosongan di dalam diri anak-anak mereka. Akhirnya, mereka mencari orang luar untuk mengadu nasib dan boleh mendengar keluhan mereka. Jikalau orang luar itu mempunyai pengaruh negatif, mereka akan terpengaruh dengan perbuatan mereka.

 

          Kebanyakan pesalah juvenil ini juga datang daripada keluarga yang porak-peranda. Penceraian ibu bapa mereka boleh menimbulkan gangguan emosi kepada mereka. Mereka akan menjadi keliru dan akan mempersalahkan diri mereka sebagai punca keretakan rumahtangga ibu bapa mereka. Sebagai remaja, mereka mengidamkan keluarga yang bahagia seperti rakan-rakan mereka. Dari itu, apabila keluarganya berpecah-belah, mereka tidak dapat mengawal emosi mereka. Akhirnya, mereka melakukan jenayahapabila mereka gagal melawan emosi mereka. Dari itu, keluarga yang porak-peranda juga adalah salah satu faktor meningkatnya bilangan pesalah juvenil.

 

          Selain daripada keluarga, kawan juga memainkan peranan penting bagi seseorang remaja. Pengaruh kawan juga adalah salah satu faktor yang menyumbang dalam kenaikan jumlah pesalah juvenil. Zaman remaja adalah zaman yang penuh dengan cabaran yang harus ditempuhi. Rakan boleh membawa negatif ataupun positif. Dari itu, pemilihan kawan amat penting bagi seseorang remaja kerana ia dapat mempengaruhi dirinya dan secara tidak langsung, membentuk peribadinya. Rakanlah tempat mereka mengadu nasib dan meminta pertolongan apabila keluarganya tidak dapat membantunya. Namun, apabila mereka salah terpilih kawan, ia boleh membawa kecelakaan.

 

          Golongan rakan yang negatif akan mempengaruhi seseorang itu membuat perkara-perkara yang dilarang. Pengaruh rakan yang negatif juga boleh meruntuhkan akhlak remaja. Seseorang itu akan terikut-ikut perbuatan dan tutur bicara golongan rakannya itu. Sering kali, mencuri, menghisap rokok dan juga mengambil dadah. Dari itu, pengaruh kawan juga menyumbang kepada jumlah pesalah juvenil yang meningkat ini.

 

          Satu lagi faktor adalah pengaruh media massa. Di dalam era yang berteknologi tinggi ini, media massa menjadi sesuatu alat yang penting untuk kehidupan seharian kita. Melalui media massa, kita boleh mendapatkan matlumat yang terkini dari dalam dan luar negeri dengan pantas, serta berhubung di antara satu sama lain tanpa mengira jarak. Namun, di sebalik kebaikan itu semua, media massa juga boleh membawa pengaruh negatif terutama sekali kepada para remaja. Apabila ibu bapa tidak membimbing anak-anak mereka sewaktu mereka sedang menonton televisyen, anak-anak itu tidak akan tahu untuk menapis mana yang baik dan yang mana buruk.

 

          Oleh yang sedemikian, keluarga yang porak-peranda bukan sahaja penyebab utama meningkatnya pesalah juvenil. Ada faktor-faktor lain yang turut  menyumbang kepadanya seperti pengaruh kawan dan juga media massa. Dari itu, kita tidak boleh menunding jari ke arah keluarga yang porak-peranda sahaja. Sebagai manusia, kita harus berfikiran terbuka dan tidak patut mempersalahkan keluarga sedemikian.

 

 

Contoh Karangan 3

 

Adriana Chandra

4/1

Sekolah Menengah Temasek

 

 

Sejak kebelakangan ini, kasus-kasus jenayah yang dilakukan remaja semakin meningkat. Banyak sekali laporan di muka utama akhbar tentang remaja yang mencuri, mencabul kehormatan, samseng-samseng yang berkelahi, dan sebagainya. Masyarakat menjadi khuatir akan kelakuan remaja ini. Apakah yang sebenarnya menyebabkan mereka membuang masa depan mereka demi kepuasan sesaat?

 

         Menurut Kamus Dewan, juvenil adalah anak muda berusia 16 tahun ke bawah yang melakukan kesalahan undang-undang. Keluarga yang porak peranda membawa maksud keluarga yang bercerai berai. Memang, kalau tiada berada, tak akan tempua bersarang rendah. Oleh sebab itu, saya setuju bahawa keluarga yang bercerai berai merupakan salah satu faktor paling kuat yang menyebabkan berlakunya fenomena ini.

 

         Keluarga merupakan orang-orang yang terdekat di dalam hidup seorang remaja. Merekalah orang pertama yang membaa pengaruh dalam hidup seorang anak. Apabila seorang anak dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang menanamkan sikap saling hormat dan bermoral tinggi, dia akan menjadi seorang remaja yang bijak dan mudah bersosialisasi. Namun, tidak semua keluarga begitu sempurna. Malah, di dalam sesetengah keluarga, ibu bapa jarang berinteraksi dengan buah hati mereka akibat terlalu sibuk bekerja dan lewat pulang rumah. Kurang komunikasi dapat memudaratkan keharmonian sebuah keluarga dan menyebabkan jurang generasi di antara mereka. Apabila seorang remaja mempunyai masalah, mereka ingin memiliki tempat untuk bersandar dan seseorang untuk membicarakan apa yang mengganjal hatinya. Jika ibu bapa tidak menyediakan masa untuk anak-anaknya, remaja akan merasakan dirinya tidak dihargai. Akhirnya, mereka melakukan jenayah untuk memancing perhatian ibu bapa mereka kerana bagaimana sekalipun mereka menyangkal hal ini, mereka sebenarnya sangat haus akan kasih sayang mereka.

 

         Kurangnya perhatian dari ibu bapa juga menyebabkan remaja terperangkap dalam kebimbangan ketika memilih apa yang baik dan buruk bagi dirinya. Akibatnya, mereka menjadi kutu jalan dan terkadang, ibu bapa mereka pun terlalu sibuk menasihati mereka. Malah, segelintir ibu bapa tidak mengetahui apa yang berlaku dalam hidup anaknya kerana mereka kurang mengambil berat tentang kebahagiaan anaknya.

 

         Tambahan pula, ada juga ibu bapa yang suka berfoya-foya, tidak bekerja dan menjadi kaki botol. Malah, ada yang keluar masuk pusat rehabilitasi ataupun penjara. Bagaikan peribahasa, bagaimana acuan, begitulah kuihnya, sikap-sikap negatif ibu bapa ini sering ditiru anak-anak mereka. Ada juga ibu bapa yang suka memukul anak mereka dan menggunakan bahasa esat serta maki-makian ketika berbicara pada anak mereka. Ini menyebabkan anak-anak merasa bahawa melakukan kekerasan itu adalah perbuatan normal dan tiada salahnya memukul kawan-kawan sebaya mereka. Mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak lazim kerana mereka hanyalah meniru apa yang dilakukan oleh orang yang paling mereka hormati.

 

          Faktor ekonomi keluarga juga menyebabkan wujudnya pesalah juvenil. Sejak kebelakangan ini, ekonomi negara semakin merosot dan ini menyebabkan semakin ramai pekerja yang diberhentikan syarikatnya. Apabila seorang ayah tidak mempunyai pekerjaan yang tetap, kemasukan kewangan keluarga itu pastilah akan terancam. Harga barang-barang keperluan yang semakin hari semakin mahal pun memudaratkan masalah ini lagi. Kurangnya kemewahan dalam keluarga menyebabkan adanya kehampaan dalam diri masing-masing anggota. Oleh sebab itu, remaja mencuri barang-barang milik orang lain demi memenuhi nafsu mereka untuk memiliki barang-barang mewah yang sebenarnya tidak terlalu mustahak.

 

                                Walau bagaimanapun, terdapat faktor-faktor lain yang menyebabkan remaja tidak mentaati undang-undang. Contohnya adalah pengaruh teman-teman. Remaja menghabiskan lebih daripada setengah harinya di sekolah, berinteraksi bersama-sama kawan-kawan sebaya. Oleh sebeb itu, amat penting bagi seorang remaja diterima dalam sebuah kumpulan sosial atau memiliki teman. Kemudian, remaja akan dicabar oleh kawan-kawannya untuk melakukan berbagai-bagai hal. Terkadang, cabaran ini bukan hal yang positif, melainkan negatif sepertimencuri, merokok, menghidu dadah dan sebagainya. Dalam kasus sedemikian, seringnya, remaja melakukan apa yang dicabar kerana mereka ingin merasa superior dan bukan pengecut. Sahsiah buruk akan muncul di dalam diri mereka.

 

         Di samping itu, media juga merupakan senjata yang bahaya bagi remaja. Media seperti televisyen, radio dan internet dapatditemukan di mana-mana sahaja di dalam dunia yang sedang melalui globalisasi dan menjadi moden. Banyak filem yang mendedahkan kekerasan pada masyarakat. Remaja masih kurang matang secara psikologi. Mereka mudah terbawa-bawa dengan suasana dan mencontohi kekerasan yang dibuat semata-mata untuk hiburan. Tambahan pula, banyak lelaman-lelaman di internet yang bersifat pornografi yang meracuni fikiran remaja yang masih bersih. Emosi mereka akan terganggu dan ini secara tidak langsung boleh meracuni fikiran mereka melakukan jenayah seperti pemerkosaan.

 

         Pengaruh terakhir yang juga sangat penting adalah kurangnya pendidikan agama yang diterima oleh remaja itu sendiri. Agama adalah pedoman seorang manusia. Ajarannya membantu setiapinsan untuk membezakan yang baik dengan yang buruk. Ia akan selalu membantu remaja untuk berjalan di jalan yang sihat dan membantunya apabila ia tersesat. Remaja yang yakin kepada Tuhan akan menjadi kuat secara emosional dan pandai memilih apa yang baik bagi dirinya. Sifat-sifat positif yang diajarkan oleh setiap agama akan membantu remaja menghindari perbuatan-perbuatan negatif.

 

                              Setelah melihat pelbagai faktor yang menyebabkan lahirnya juvenil di masyarakat kita, saya dapatmembuat kesimpulan bahawa pesalah juvenil berpunca daripada keluarga yang porak-peranda kerana faktor-faktor yang mendukung mauduk ini lebih banyak daripada yang melawannya. Yang pasti, langkah-langkah harus diambil untuk menghentikan perbuatan mereka kerana remaja adalah masa depan sebuah negara. Mereka harus diberi pelajaran dan dididik agar menjadi insan yang berguna di samping mengharumkan kaumnya.

 

 

Enter content here

Enter supporting content here