Bagai Kaduk Naik Junjung
halaman utama
siapakah gerangan
uji cerdas
di sebalik tabir
bicara hati
jalinan mesra

Contoh  Karangan
 
 

Suhailah Nasir.

Sec 4E5

Sekolah Menengah Pasir Ris   

 

        Sebagai insan Allah yang kerdil lagi tidak bermaya, kita seringkali diingatkan agar tidak bongkak, riak atau sombong apabila menerima suatu kenikmatan. Sememangnya kita akan rasa seperti berada di perkarangan syurga apabila kebahagiaan datang menyapa. Namun begitu, kita harus sentiasa menyemai sifat bersyukur kepadaNya atas kenikmatan yang diberi.Itulah kata-kata nasihat yang aku jadikan pedoman apabila menjalani ranjau kehidupan. Peristiwa yang menimpa diri Serina, sahabatku semenjak berada di bangku sekolah lagi aku jadikan iktibar agar aku juga tidak terjebak sama.

 

        Serina ialah anak kepada jiran sebelah rumahku, Pakcik Sharif. Sebagai anak sulung di dalam keluarga sembilan orang adik-beradik, Serina memang terpaksa memikul tanggungjawab yang berat sekali.Dia bukan sahaja seorang kakak, malah dia terpaksa menjadi seorang ibu kepada adik-adiknya yang sememangnya dahagakan kasih sayang seorang ibu. Makcik Siti, iaitu ibu Serina telah kembali ke pangkuan Illahi setelah menderita penyakit barah hati selama lebih dari lima tahun.Oleh sebab keluarga Serina kurang berkemampuan, ibunya tidak dapat diberikan rawatan yang sewajarnya untuk mengubati penyakitnya. Bapanya Pakcik Sharif, terpaksa bekerja keras di ladang semata-mata untuk mencari sesuap nasi untuk keluarganya. Serina tidak pernah merasakan masakan yang lazat lagi menyelerakan. Nasi dan telur menjadi santapan bagi Serina sekeluarga hampir setiap hari. Kadang kala, mereka terpaksa ikat perut. Namun begitu, Serina tabah melalui dugaan Illahi. Dia percaya bahawa Allah swt akan sentiasa melindunginya sekeluarga.

 

        Walaupun Serina berasal daripada keluarga yang susah, dia tetap mengutamakan pelajaran kerana dia percaya bahawa dengan pelajaran, seseorang itu akan dapat mencapai ke puncak gading. Serina tekun belajar dan sentiasa mendapat tempat pertama di dalam darjah. Semua orang kagum dengan ketabahan Serina menguruskan diri dan keluarga. Guru-guru yang tahu akan kesusahan yang dilaluinya tidak putus-putus menghulurkan bantuan apa sahaja bagi meringankan beban yang dipikulnya. Kerja keras Serina dalam menguruskan tugasan sekolah membuahkan hasil. Serina meraih keputusan yang baik bagi peperiksaan SPMnya. Dengan keputusan yang begitu memuaskan, dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya di London. Pada mulanya, Serina menolak tawaran itu kerana khuatir akan adik-adiknya yang masih memerlukan bantuannya. Namun atas dorongan guru-guru dan juga bapanya, Serina tidak dapat menolak. Dengan hati yang berat, dia melangkahkan kaki ke London. Dia berjanji kepada ayahnya bahawa dia akan pulang ke kampung dengan menggenggam segulung ijazah. 

 

        “Ayah merestui pemergianmu anak. Pergilah mengejar cita-citamu untuk mencipta nama. Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina kerana ayah tidak mahu melihatmu dipandang hina oleh masyarakat, seperti apa yang ayah terpaksa lalui sekarang…” Kata Pakcik Sharif dengan nada yang pilu.

 

        Serina mengangguk-anggukkan kepalanya lalu mengucapkan selamat tinggal. Setibanya Serina di London, dia masih tidak dapat melupakan keluarganya di kampung. Hampir setiap minggu dia melayangkan surat untuk bertanyakan khabar dan menyatakan betapa rindunya dia terhadap keluarganya. Serina tidak dapat menyesuaikan dirinya di dalam sekitaran yang begitu berbeza dari kampung, seperti rusa masuk ke kampung. Namun, rasa janggal itu tidak berpanjangan. Jika dahulu, ayahnya akan menerima surat daripadanya hampir setiap minggu. Namun kini, Serina hanya akan mengirim surat dua bulan sekali. Sangka ayahnya Serina ingin menumpukan perhatian terhadap pelajarannya. Rupa-rupanya, tanpa pengetahuan Pakcik sharif, Serina telah berhenti bersekolah. Dia telah mula menjinak-jinakkan diri dalam dunia ‘modeling’. Memang tidak dapat aku nafikan bahawa Serina mempunyai rupa yang menawan hati. Tetapi, tidak pula aku sangka bahawa Serina sanggup mengabaikan pelajarannya semata-mata kerana ingin mencipta nama dalam dunia hiburan antarabangsa. Hanya dalam masa enam bulan, nama Serina dikenali ramai, seluruh dunia. Dia telah menjadi peragawati yang terkenal. Hukum hakam agama langsung tidak dihiraukan. Dia memperagakan pakaian yang menjolok mata, dan kadang kala menjadi model untuk iklan-iklan minuman keras.

 

        Setelah berita mengenai perubahan Serina sampai ke telinga Pakcik Sharif, hanya rasa kesal yang dapat Pakcik Sharif luahkan. Panggilan jauh yang dibuat si bapa langsung tidak dihiraukan oleh si anak. Surat-surat yang dilayangkan oleh Pakcik Sharif langsung tidak dibalas. Oleh sebab beliau rasa begitu tertekan, kesihatan Pakcik Sharif mula terganggu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya yang dahulunya bertudung lingkup dan tidak pernah meninggalkan tikar sembahyang kini memperagakan pakaian yang menjolok mata. Peluang keemasan yang diberikan oleh kerajaan agar Serina dapat menjadi manusia yang berpelajaran telah disalahgunakan oleh Serina. Sebagai sahabatnya, aku begitu khuatir akan perubahan Serina yang keterlaluan itu. Aku sedih dan kesal akan perbuatannya dan sikapnya yang langsung tidak menghiraukan keluarga di kampung. Dengan tidak berfikir panjang, aku turut ke London. Tetapi niatku ke sana bukan untuk bersuka ria. Aku ke sana dengan tujuan untuk membawa Serina pulang ke pangkuan keluarga. Manalah tahu, nasihatku akan membuahkan hasil dan dapat melembutkan hatinya yang keras seperti batu.

 

        Sangkaku meleset. Serina tidak menyambut kedatanganku dengan tangan yang terbuka. Malah, dia menggesaku agar pulang ke kampung dan berpesan padaku agar tidak mencarinya lagi.

 

        “Aku bahagia dengan hidupku sekarang. Tak usahlah kau datang ke sini lagi. Katakan pada Mr Sharif, aku bahagia hidup di sini. It’s so carefree to be here without any disturbances..” Serina berkata dengan suara yang kurang menyenangkan.

 

        Aku pulang ke kampung dengan hati yang begitu sedih. Ayah Serina menungguku di daun pintu pondok buruknya dengan seribu harapan. Aku serba salah. Janjku pada Pakcik Sharif untuk membawa pulang anak sulungnya tidak dapat aku tunaikan. Aku dapat bayangkan betapa hancurnya hati seorang bapa apabila anak yang dibelainya seperti menatang minyak yang penuh enggan kembali ke pangkuannya. Yang lebih memilukan hati, Serina langsung tidak mahu menganggap Pakcik Sharif sebagai ayahnya.

 

        Sambil merenung jauh, aku hairan bagaimana Serina boleh berubah sehingga begitu. Dirinya yang dulu hina dan miskin kini berubah menjadi kaya, sombong dan bongkak. Serina boleh aku ibaratkan bagai kaduk naik junjung. Perubahannya begitu ketara sehingga aku malu menggelarkannya sebahagai sahabatku. Dia seolah-olah lupa daratan. Aku memerhatikan awan hitam menyelubungi langit yang terbentang luas, kilat pula mula sabung-menyabung dan hujan membasahi bumi dengan lebatnya. Barang kali, begitulah keadaan hati Pakcik Sahrif, gelap dan buntu tanpa arah tujuan, marah dan geram dengan perubahan Serina.

 

        Sudah hampir lima tahun semenjak Serina meninggalkan keluarganya. Dan aku pasti bahawa jauh di lubuk hati Encik Sharif, dia masih menantikan kepulangan anaknya, Serina.

 

                        (966 patah perkataan)

 

Enter content here

Enter supporting content here