Make your own free website on Tripod.com

Masalah pengangguran masih berlaku di negara kita walaupun banyak pekerjaan ditawarkan oleh pihak sw

halaman utama
siapakah gerangan
uji cerdas
di sebalik tabir
bicara hati
jalinan mesra

Enter subhead content here

Muhammad Faizal B Nooraznan (men 4A/BM) 2003

Sekolah Victoria

 

Masalah pengangguran masih berlaku di negara kita walaupun banyak pekerjaan ditawarkan oleh pihak swasta dan kerajaan. Pada pendapat kamu, megapakah keadaan ini berlaku dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya.

 

          Dewasa ini, masalah pengangguran kian berleluasa. Ramai juga warga negara kita yang dibuang kerja akibat kegawatan ekonomi yang berlaku akibat kesan penyakit SARS dan peperangan di Iraq yang telah banyak menjejaskan ekonomi antarabangsa. Industri pelancongan di negara kita terjejas hinggakan ramai orang yang bekerja di lapangan terbang atau pelabuhan yang dipecat. Akan tetapi, yang menjadi tanda tanya adalah sementara ramai orang yang menganggur, terdapat banyak pekerjaan yang ditawarkan oleh pihak swasta dan pekerjaan. Mungkin terlintas di benak fikiran pembaca suatu soalan yang berbunyi “mengapa?”

 

          Menurut statistik, orang yang sedang menganggur ini sebenarnya datang daripada golongan yang tidak mempunyai kemahiran yang unik dalam sesuatu bidang. Maka tidaklah lagi menjadi paradoks jika dikatakan bahawa ramai orang menganggur sedangkan terdapat banyak pekerjaan yang ditawarkan. Ini adalah kerana kemungkinan besar pekerjaan yang ditawarkan itu adalah khas bagi orang yang berkemahiran. Sejajar dengan itu, tidak menghairankanlah jikalau semakin ramai rakyat Singapura dibuang kerja sedangkan warga asing ditawarkan pekerjaan di sini. Pemerintah telah menggelarkan warga asing ini sebagai ‘bakat asing’. Apakah ia bermaksud bahawa warga negara kita sendiri tidak berbakat? Sesungguhnya, kita harus memahami bahawa Singapura mempunyai sebuah ekonomi hasil industri pemprosesan dan perdagangan. Itulah sebabnya mengapa pemerintah Singapura inginkan lebih banyak pakar Sains yang boleh menolong mempertingkatkan imej Singapura sebagai sebuah pusat R&D (penyelidikan dan pemprosesan) yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.

 

          Selaras dengan itu, ada beberpa langkah yang wajar diambil oleh warga Singapura jika mereka tidak ingin hilang pekerjaan. Pertama sekali, budaya ‘senang berpuas hati dengan apa yag ada’ harus dikikis. Memanglah benar, kita sebagai orang Islam harus sentiasa bersyukur kepada Allah ke atas nikmat yang diberi-Nya, walau berapa sedikit pun. Akan tetapi, cuba fikirkan; jikalau kita hanya berdoa dan mengharapkan kenaikan pangkat atau pekerjaan baru tanpa berusaha, kita tidak akan mendapatkannya. Oleh itu, kita harus ada mentaliti yang positif agar kita akan sentiasa mempertingkatkan diri kita, seperti mesej yang disampaikan oleh pergerakan ‘lifelong learning’ atau pembelajaran sepanjang hayat yang dianjurkan oleh pemerintah.

 

          Para penganggur harus membuang segala keraguan mereka dan bersikap lebih terbuka serta mengalami perubahan paradigma. Dengan itu, perspektif mereka mengenai nasib mereka yang malang itu akan bertukar dan akan hilanglah sikap pesimis yang menjadi halangan bagi mereka mendapat pekerjaan baru. Bukannya pemerintah tidak mahu memberikan pekerjaan tersebut kepada kita, tetapi kita harus mempraktikkan budaya ‘lifelong learning’ dan sering mempertingkatkan kemahiran diri agar boleh menjadi asset kepada negara.

 

          Pengangguran juga membawa masalah sampingan di mana aliran wang keluarga itu disekat. Untuk mengurangkan impak masalah tersebut, adalah lebih baik jikalau kita menyediakan payung sebelum hujan dan tidak memboroskan wang dengan sewenang-wenangnya. Dengan cara ini, hidup seharian masih dapat ditampung walaupun ianya hanya setakat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kita juga haruslah tabah menghadapi rintangan ini yang merupakan hanya sebahagian daripada gelombang hidup kita.

 

          Kesimpulannya bagi mengatasi masalah ini, kita harus mengharunginya dengan sahsiah yang positif dan berusaha mencari jalan untuk menanganinya. Usah duduk di situ sahaja dan mengadu akan nasib kita yang malang, tetapi sebaliknya hadapi rintangan itu dengan berani.

 

          Mendapatkan ilmu yang lebih tidak akan membebankan kita, malah ia boleh memanfaatkan kita, terutama sekali dalam mendapatkan pekerjaan baru kerana pilihan pekerjaan kita tidak akan terkongkong. Maklumlah, ilmu itu pelita hidup.

 

          Akhir kata, ingin saya tekankan lagi bahawa kita harus berusaha untuk mengatasi masalah ini kerana mengadu sahaja tidak akan membawa sebarang faedah. Jikalau kita tidak menyelenggarakan hidup kita, siapa pula akan melakukannya? Pokoknya, kita harus sentiasa ingat yang kita sendiri yang boleh mengubah nasib kita kerana kitalah pengelola dan pengendali hidup kita sendiri. Dalam masa yang sama, janganlah berputus asa jikalau kita gagal, kerana kegagalan merupakan langkah pertama sebelum menuju ke arah sukses. Amnya, mereka yang menganggur harus mengorak langkah menuju ke mercu kejayaan dengan mempertingkatkan nilai diri mereka dengan mempraktikkan budaya pembelajaran seumur hidup, terutama sekali mempelajari kemahiran baru yang boleh menjadi asset negara.

 

 

Enter supporting content here