Rosak Badan Kerana Penyakit, Rosak Bangsa Kerana Laku
halaman utama
siapakah gerangan
uji cerdas
di sebalik tabir
bicara hati
jalinan mesra

Contoh Karangan 1

 

Nur Syahidah

Sec 4/2

Sekolah Menengah Temasek

 

                        Di akhbar Berita Harian akhir-akhir ini, kita lihat banyak paparan dan tinjauan mengenai kelakuan buruk anak Melayu kita sendiri. Antara beberapa isu yang sering dipaparkan ialah kelakuan buruk remaja nakal, sikap pemalas anak Melayu zaman sekarang dan lain-lain lagi. Isu-isu ini harus ditangan segera agar tidak menjejas maruah masyarakat dan bangsa kita.

 

                        Kita harus sedar bahawa kelakuan buruk seseorang akan menyebabkan bangsa itu tercemar. Nama bangsa kita akan disebut-sebut di sana sini oleh bangsa lain. Oleh itu wajarlah kita mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan kerosakan maruah bangsa kita. Kita tidak mahu bangsa kita dianggap bangsa yang paling hina ataupun paling rendah martabatnya.

 

                        Kini masalah terbesar yang dihadapi oleh bangsa kita ialah kelakuan anak muda Melayu yang jelas memalukan bangsa kita. Semakin ramai anak-anak Melayu, terutama remaja yang kian liar kerana kekurangan pendidikan moral, agama dan akhlak. Pelbagai cerita buruk telah sampai ke telinga kita, dan kian tersebar luas di kalangan bangsa lain juga. Terdapat cerita mengenai remaja Melayu yang terlibat dalam kumpulan dan kegiatan samseng, manakalah kebanyakan pasangan muda yang masih bersekolah sudah terlanjur dan sebagainya. Masyarakat Melayu kita juga dikenali kerana jumlah penagih dadah di kalangan remaja Melayu kian meningkat. Hal-hal sedemikian menjatuhkan dan memburukkan lagi nama bangsa dan masyarakat kita. Anak-anak Melayu sebegini bagaikan menconteng arang bukan sahaja ke muka keluarga, malahan ke muka masyarakat dan bangsa mereka juga.

 

                        Sebaik sahaja cerita-cerita kurang elok dan berita-berita menggemparkan mengenai anak Melayu kita zaman sekarang tersebar luas di merata tempat, nama bangsa kita jadi sebut-sebutan. Agama kita iaitu Islam, akan dipandang serong oleh bangsa lain. Bangsa kita akan mendapat pelbagai kritikan dan tohmahan daripada bangsa lain.

 

                        Selain masalah remaja nakal, penagih dadah serta remaja keterlanjuran, satu isu besar yang serin dikaitkan dengan bangsa kita ialah sikap pemalas anak muda kita di hari muka. Kita sering dipandang rendah kerana anak-anak muda kita jauh lebih pemalas dan kurang berpendidikan jika dibandingkan dengan anak-anak bangsa lain. Di sekolah sahaja, kita dapat lihat satu perbezaan yang amat ketara dalam keputusan anak Melayu dan bangsa lain. Adakah ini satu kebetulan dan sudah ditakdirkan, ataupun memang satu sifat yang sudah menjadi amalan anak-anak muda kini?

           

                        Dari sini, kita dapat melihat bagaimana kelakuan dan sikap manusia boleh menjejas nama bangsa. Jika seseorang insan melakukan sesuatu yang membanggakan, ia akan mengharumkan nama bangsa. Namun apabila seseorang insan melakukan sesuatu yang memalukan dan dikhianati, ia akan menjatuhkan nama bangsa. Fenomena ini boleh dikaitkan dengan peribahasa rosak badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana laku. Apabila kite menghidap sesuatu penyakit, badan kita mengalami kerosakan. Apabila kita berkelakuan buruk dan memalukan, bangsa kita akan menerima kritikan.

 

 

Contoh Karangan 2

 

Nur Hidayah

4/4

Sekolah Menengah Temasek

 

Sejak kecil, aku dididik supaya menjadi seseorang yang berakhlak mulia dan taat kepada ibu bapa. Ibu bapaku telah berjaya membesarkan tiga orang anak mereka dengan sempurna. Aku serta adik-beradikku yang lain sentiasa dicurahkan sepenuhnya kasih sayang oleh mereka berdua. Namun, belum sempat kami pelajari lebih banyak tentang dunia daripada mereka, mereka telah pun meninggalkan kami. Kemalangan yang meragut nyawa mereka, dengan secara tidak langsung mengubah kehidupan aku tiga beradik.

 

“Eh! Budak-budak yang yatim-piatu dah datang! Mereka datang dengan lenggang lenggoknya!” jerit Kamal sebaik sahaja aku memasuki kelasku. Secara serentak, hilaian ketawa rakan-rakanku yang lain kedengaran. Aku keliru. Patutkah aku mengakui mereka sebagai rakanku sedangkan mereka berkelakuan demikian?

 

“Apa yang kamu semua kata? Awas kamu Is!” tegas abangku.Tiba-tiba, kelasku yang pada mulanya riuh dengan hilaian ketawa kini menjadi sunyi sepi. Mereka semua gerun dengan abangku kerana dia selalu kelihatan bengis. Namun, aku lebih mengenalinya daripada mereka. Di sebalik wajahnya itu, beliau adalah seorang yang penyayang. Walaupun dia hanya dua tahun lebih tua daripada aku dan Mai, kembarku, dia sudah menjadi seperti bapaku setelah kami kehilangnya. Begitulah setiap hari buat selama beberapa bulan kemudian.

 

Tanpa disedari, tahun baru pun sudah bermula. Abangku yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan GCE peringkat ‘O’ tahun lalu, kini mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajiannya. Dia ingin bekerja untuk menampung kehidupan kami. Selepas kehilangan ibu dan ayah, kami tinggal bersama nenek kami. Abangku sedar, nenek sudah pun uzur dan tidak boleh melakukan pekerjaan kerana tubuhnya yang lemah. Aku dan Mai tidak dapat menghalang keputusannya itu. Tambahan pula, abangku melakukan ini semua supaya aku dan Mai dapat meneruskan pelajaran kami.

 

Enam bulan sudah pun berlalu. Abangku telah pun mendapat kerja tetap di sebuah kilang. Kini, hubungan kami semakin renggang. Dia sudah berubah.  Abangku sering sahaja pulang lewat. Kadang-kala, dia tidak akan pulang langsung. Aku mulai curiga. Apabila aku bertanya padanya tentang hal itu, dia hanya memberiku jawapan yang sama. “Abang kerja tidak tentu masa. Janganlah kamu risau tentang abang. Abang tahulah nak jaga diri. Kamu jagalah diri kamu, Mai dan nenek. Abang kerja lewat pun untuk mendapat duit tambahan...” Sudah penat aku mendengar alasannya itu. Aku terpaksa mengiakannya sahaja. Aku tidak dapat berkata apa-apa.

 

Semakin hari, perangainya semakin menjadi-jadi. Ada kala, dia tidak pulang ke rumah selama beberapa hari. Aku mulai curiga dengan kelakuannya. Sering kali dia akan pulang dalam keadaan mabuk. Hatiku hancur melihatnya. Tidak pernah terlintas dalam fikiranku dia akan menjadi sedemikian. Mengapakah abang telah berubah? Dia tidak pernah berkelakuan begini dahulu? Apa telah terjadi kepadanya? Ya Allah! Aku berdoa agar Kau sentiasa melindungi abangku daripada bahaya dan kecelakaan! Aku sering berdoa untuk abangku. Hanya tuhan sahaja yang tahu jeritan batinku.

 

Suatu hari, aku pulang awal dari sekolah kerana badanku berasa tidak begitu sihat. Aku ternampak beberapa pasang kasut di hadapan pintu rumahku. Aku tertanya-tanya kepada diriku sendiri siapakah gerangan mereka semua. Dengan hati yang berdebar-debar, aku membuka pintu rumahku dengan perlahan. Bau arak yang amat kuat menusuk masuk hidungku sebaik sahaja pintu itu terbuka. Alangkah terkejutnya aku terlihat beberapa orang lelaki yang tidak aku kenali sedang tidur di ruang tamuku yang sempit itu. Botol-botol arak bersepah-sepah disekeliling rumahku. Ingin sahaja aku memekik dan menghalau mereka semua keluar. Namun, aku tahu ianya tidak berguna kerana mereka masih dalam keadaan mabuk. Kemarahan aku melonjak-lonjak. Aku masuk ke dapur untuk mencari abangku. Aku dikejutkan buat kali kedua. Aku ternampak beberapa orang lelaki menyuntik tangan mereka. Mereka kelihatan khayal di dalam dunia mereka sendiri. Aku seakan tidak percaya apa yang aku saksikan.Aku terus mencari abangku di dalam biliknya. “Ya Allah! Abang!” Aku terpekik apabila terlihat abang aku terlentang di atas katilnya. Yang amat mengejutkan aku ialah, ada seseorangm perempuan yang berada di sisinya. Beribu soalan bermain difikiranku. Aku hanya terdiri di hadapan pintu biliknya. Tiada apa yang dapat aku lafazkan. Aku terus berlari keluar dari rumahku dengan fikiranku yang bercelaru. Aku rasakan rumahku seakan sarang maksiat. Astarghfirullahhalazim!

 

Kejadian yang menghantuiku itu, tidak aku beritahu sesiapa pun. Aku tidak sampai hati untuk menghancurkan hati nenekku yang sudah tenat. Abangku pula tidak pernah aku lihat kelibatnya sejak hari itu. Aku tidak sangka dia menjadi seperti sampah masyarakat. Apakah telah terjadi kepadanya?  

 

Selang beberapa minggu, abangku tidak pun pulang. Khabar beritanya tidak pun aku dengar. Tiba-tiba, aku dikejutkan oleh beberapa pegawai polis yang mengetuk pintu rumahku.

 

“Apa?! Abang ditangkap oleh pihak polis kerana menagih dadah dan terlibat dalam penyeludupan dadah! Izah, macam mana ini semua berlaku? Tidak mungkin abang melakukan itu semua!” Aku terpaksa menenangkan Mai. Sememangnya, aku pasti dia tidak akan dapat menerima berita yang mengejutkan ini. Setelah aku menceritakan hal yang sebenarnya, barulah Mai dapat menerima kebenaran itu. Aku dan Mai membuat keputusan untuk merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan nenek.

 

Aku melawat abangku yang berada di sebuah pusat rawatan. Walaupun pada mulanya aku tidak ingin melihat wajahnya lagi kerana perbuatannya yang telah memburukkan nama keluarga kami, aku tidak sampai hati berbuat demikian. Dia adalah abangku dan walau apa pun yang terjadi, ia tidak akan mengubah hakikat ini. Hatiku terasa hiba apabila aku melihat abangku yang meringkuk di pusat itu. Dia juga didapati mengidap AIDS kerana melakukan seks rambang. Aku tidak dapat berbuat apa-apa selain melihat penderitaannya.

 

 Ketika aku berjalan keluar daripada pusat rawatan itu, aku berbisik di dalam hatiku sendiri:

 

“Kini, tiada apa yang aku boleh buat selain memberikan sokongan moralku kepada abang. Apakan daya, nasi sudah pun menjadi bubur. Perbuatannya itu telah menghancurkan dirinya sendiri. Dia punyai masa depan yang cerah, namun, dia telah tersilap memilih langkah. Abang hanyut ke lembah hina tanpa kami sedari. Dia juga telah memburukkan nama baik negara dengan melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Tidak pernahku duga ini semua akan terjadi.”

 

Dengan hati yang berat, aku melangkah keluar dari pusat itu.

Komen guru

 

Karangan ini hanya memaparkan bahagian pertama peribahasa ini, iaitu ‘rosak badan kerana penyakit’. Bagaimana dengan bahagian kedua? ‘Rosak bangsa kerana laku’? tidak disentuh langsung? Mungkin pada bahagian-bahagian tertentu boleh diselitkan bagaimana kelakuan abang dan rakan-rakannya telah memburukkan nama, maruah, harga diri dan bangsa Melayu. Dengan cara itu, barulah karangan ini mencerminkan maksud peribahasa ini. Teruskan usaha!

 

Enter content here

Enter supporting content here